Monday, August 16, 2010

Isu Pemansuhan UPSR dan PMR






Baiklah. Apakah yang boleh diperkatakan mengenai pemansuhan peperiksaan awam UPSR dan PMR. Adakah ianya relevan atau tidak? Apa kata anda? Marilah sama-sama kita memberi pendapat untuk mendapatkan kata sepakat.


Jadi pada pendapat saya sebagai salah seorang pelajar yang sudah mengharungi kedua-dua peperiksaan awam ini, adalah memang tidak sepatutnya kedua-dua peperiksaan ini dimansuhkan. Ada juga pihak yang berkata, hanya mansuhkan PMR tapi bukan UPSR. Tapi tegas disini saya mengatakan kedua-dua peperiksaan ini sangat penting. Mengapa? Nanti kita ulas dengan lebih panjang.

Sebelum kita melebarkan lagi topik perbincangan kita untuk isu ini, apakah sebab-sebab peperiksaan awam ini perlu dimansuhkan dan apakah tindakan susulan yang bakal diambil oleh kerajaan untuk menggantikan kedua-dua peperiksaan ini? Ada yang mengatakan antara sebab mengapa peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan adalah kerana kedua-dua sijil peperiksaan ini tidak dipandang oleh bakal majikan. Ada betulnya apa yang dikatakan. Memang pada masa kini, kedua-dua sijil itu sudah dipandang untuk mendapatkan pekerjaan dan perkara itu memang tidak dinafikan. Dan, jika kedua-dua peperiksaan ini tidak mansuhkan, ianya mungkin bakal menjadi peperiksaan biasa pada peringkat sekolah.

Namun, cuba kita meletakkan diri kita ditempat pelajar itu sendiri. Selama 11 tahun tanpa peperiksaan besar, rasa-rasanya, apakah yang akan dilakukan oleh para pelajar? Bayangkan jika peperiksaan yang bakal diambil pada tahun kesebelas itu merangkumi kesemua mata pelajaran selama 11 tahun itu, mungkinkah pelajar dapat mengingati kesemuanya? Fikir-fikirkan.

Mari kita lari sedikit dari tajuk asal. Ingat lagi kah pada PPSMI? Ada desas desus mengatakan pada tahun 2012, PPSMI akan dimansuhkan? Mengapa yer? Tidak baguskah? Bukan begitu pada saya. PPSMI itu sudah sedia bagus tetapi yang tidak bagusnya ialah tiada perancangan teliti yang diambil oleh kerajaan. Bayangkan betapa kelam kabutnya guru dan pelajar disekolah untuk mengikuti dan mematuhi perubahan yang dilakukan. Dan kesian juga kepada guru-guru yang tidak ada asas bahasa Inggeris untuk mengajar anak muridnya berbahasa Inggeris. Cuba kita lihat dalam pendidikan Jepun, mereka lebih mengagung-agungkan bahasa mereka selain daripada bahasa lain, namun mereka masih boleh berjaya. Apa kata anda?

Berbalik semula pada isu pemansuhan peperiksaan awam UPSR dan PMR. Tidakkah kerajaan merasakan peperiksaan UPSR dan PMR dapat memberi peluang kepada pelajar itu sendiri betapa pentingnya peperiksaan itu sendiri. Ada segelintir pelajar yang hanya bermain-main semasa megambil peperiksaan UPSR namun apabila mereka mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan, timbul dihati mereka untuk melakukan lebih baik pada peperiksaan PMR dan begitu juga bagi sesiapa yang tidak mendapat keputusan yang baik pada peperiksaan PMR. Bukan kah sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada pelajar itu sendiri?

Selain itu, kedua-dua peperiksaan ini yang boleh dan dapat menguji pencapaian pelajar dalam pembelajaran mereka dan dapat memberi fokus kepada mereka untuk lebih bersungguh-sungguh didalam pembelajaran. Dan berbaloi kah untuk menguji pencapaian pelajar dalam masa 11 tahun? Kalau begitu, kenapa tidak dipendekkan sahaja tahun pembelajaran dan membenarkan pelajar memasuki universiti dengan lebih awal? Lagi la tidak relevan. Dengan keadaan pelajar yang masih belum mencapai tahap kematangan sudah dibiarkan duduk bersendirian di universiti.

Jika kerajaan masih mahu memansuhkan kedua-dua peperiksaan ini, saya berharap kerajaan dapat memberikan sebab-sebab yang solid dan tidak dapat dipersoalkan, barulah rakyat dapat menerimanya. Dan tidak lupa juga, berikan pembentangan tentang perubahan yang bakal dilakukan oleh kerajaan selepas memansuhkan kedua-dua peperiksaan ini. Jangan seperti hangat-hangat tahi ayam sudahlah. Rakyat sekarang bukan senang untuk diperbodohkan.

Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

0 comments:

Post a Comment